Isnin, Februari 11, 2008



Sebuah karya

Yusuf Fansuri

DENAI ANGIN

- untuk Abang Marsli N.O


jadilah denai angin

yang mendamai

resah tanah gundah

jadilah denai angin
yang membelai
kelikir di air

jadilah denai angin
yang mendingin
api di puncak nyala

jadilah denai angin
yang memberi
sejuta nyawa di udara





















Sebuah karya
Yusuf Fansuri

DEBAR INI TAK KAUDENGAR DEGUPNYA


rindu rasa sukar benar kuterjemah dengan kata-kata

jarak makin dewasa memisahkan usia jadi mengerti lebih

runtutan perasaan jelas bukan mainan mudah 'tuk cuba

mengacah setiap gerak dan geri laku cemburu

debar ini tak bisa kaudengar degup getarnya

dada ini telah kuselimuti lapisan tebal kapas

agar tidak ada siapa tahu isyarat rahsia hatiku

berbicara bukan penghubung terbaik waktu begini

kerana diam lebih bermakna dan tulen dalam memahami

Selasa, Januari 29, 2008

Sebuah karya
Yusuf Fansuri

CINTA HANI, ROKET SAINTIS & 7 HARI

i

ini cinta bukan biasa
ini cinta hani


ini cinta
membelah matahari


ini cinta
masuk ke dalam cahaya


ini cinta hani
ini cinta mati


ii

tak perlu jadi roket saintis
untuk jadi seorang romeo


iii

7 hari dikejar ngeri melepas seekor rubah agar bisa menyalak bulan di puncak!


Isnin, Januari 21, 2008


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

DI TANGANKU LUKA

Di tangan kiri
Luka aku lagi
Diguris taji

Di tangan kanan
Luka aku belum
Sembuh penuh

Bagaimana harus
Aku sentuh bisa
Ayu wajahmu?


Tatkala
Di tangan aku
Masih basah darah!

Rabu, Januari 02, 2008


Sebuah karya

Yusuf Fansuri

NAMAMU KHADIJA

- untuk farid-iman


Ketika aku tulis sajak ini

Sering teringat aku

Akan wajah kamu


Pesanmu dalam gurau sopan

Tegurmu dalam nada jujur

Santunmu dalam nilai timur


Kupanggil namamu... Khadija

Cinta hati penghulu nabi

Idaman mithali sejuta suri


Atas nama tuhan semesta

Segala doa kumohon sepenuh jiwa

Moga sejahtera selalu hidupmu


Ketika aku tulis sajak ini

Sering teringat aku

Akan kamu!

Ahad, Disember 30, 2007

sebuah karya
Yusuf Fansuri
MASA

* detik ke detik * adalah waktu* antara kita *tiap datang * pasti kembali* masa ke masa * sendiri seringkali* aku kamu dan dia*

Khamis, Disember 27, 2007


sebuah karya
Yusuf Fansuri

API 3 PAGI


i)
di hujung

malam banjir

hujan belum reda

ii)
dingin membeku

melekat di tingkap
cermin dini


iii)
nyala mata terbuka
saraf membelit ruang
saat insan lain dipanah lena


iv)
nafas-nafas kencang
mengepung lamunan

letih tak punya jarak antara

v)

O yusuf

di dadamu telah terbakar sejuta api
menarilah di linkungan cahaya sunti!



Rabu, Disember 05, 2007



Sebuah karya
Yusuf Fansuri

SEGALA YANG MUNGKIR


tinggalkan segala mungkir
usia makin renta
janji tak pernah usai

maut sentiasa
mencium waktu cinta

percaya kalbu
setiap kita ‘
kan pergi
hanya menunggu detik tiba...



sebuah karya
Yusuf Fansuri

MENDAM RINDU


dasar rindu
dalam
menjalar aku
jadi akar


dasar rindu
dalam
meneguk cuba
mata air jiwa


dasar rindu
dalam

mendam rasa

jadi yusuf tawanan cinta!

Selasa, November 20, 2007


Sebuah karya
Yusuf Fansuri
MENANGISLAH BUNGA
Untuk sobat Rosani Hiplee


setiap kali matahari
menembusi retak pagi
dan tangkai mula membelit
duri-duri pun menusuk
senyap ngilu

deru angin jadi belati
menghiris segala sari
dingin menitis
di celah-celah daun

O ketahuilah,
wangiku adalah pedihku
maduku adalah racunku

setiap kali kaupetik ingin
sekuntum untuk kekasih

aku luka menahan lara

demi sebuah bahagia!


Sebuah karya
Yusuf Fansuri
BLUEBERRY
Untuk sobat Tawfeksaed
Kupetik ingin
Buahmu
Untuk kutawar
Hati biru
Manis
Di lidah kelu
Saraf menggeliat
Mabuk nikmat
Nah!
Di tanganku
Cinta berwarna ungu
Tunduk aku malu!

Isnin, November 19, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
KACA LUKA
luka kaca
terbelah dua
cermin retak jiwa

Sabtu, November 17, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
CINTA TERATAI

Mekar putih
Segar di kolam hati
Getar riak air sesekali
Menggoyang daun menari-nari
Membalut cinta
Teguh akarnya!



Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

RAWA

malam ghairah
indah sungguh
!

cintaku tumpah
di sepanjang jalan
ke tamanmu

itu bintang gugur
dari tangkai bulan
dinihari

malam ghairah
sungguh indah
!

Jumaat, November 16, 2007


sebuah karya
Yusuf Fansuri
JADI LENYAP AIR


dalam dakap
hening malam

jadi renyai hujan
jadi lenyap
air

jatuh ke tasik
dalam
dalam

dalam
dalam
dalam

dalam
dalam





sebuah karya
Yusuf Fansuri
OMBAK BER(SE)LINDUNG


tika resahmu kausampaikan
melalui udara november rindu bersayap
dan menyelinap di celah-celah retak kenangan

cuba ber(se)lindung gerak hati
berpura mencari makna jawapan
pada soalan tak pernah ditanya

kaubercerita tentang saujana laut
hidup terlalu kerdil di pinggir
ibarat butir-butir pasir sunyi kaujadi

kataku - sering kita hilang haluan
terkhilaf mentafsir arah angin
tersilap membaca peta sukma

saat ini - aku terlalu dekat padamu
deras hempasan ombak dapat kurasa
meski hanya hujan membasah jendela!

Khamis, November 08, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
TAMAN PUJI-PUJIAN

di daerah aneh hadir aku

kagum memasung segenap deria
tidak terluah walau sepatah kata
penuh takjub mata terkasima rasa

aroma udara cukup asing baunya

tiada kicau burung tiada riuh unggas
hutannya masih membalut hijau
pohonnya masih menunjang langit

sepanjang jalan lembut rumputnya
tiada rama-rama berterbangan
di celah daun-daun berwarna
tiada kedengaran bunyi air
mengalir
langitnya tiada berawan
segala seperti membeku

cuma aku masih berjalan-jalan di sekitar taman
di bibirku basah puji-pujian
di hatiku karam tangisan

O Yusuf
mengapa harus memilih waktu?
tatkala cinta telah berpadu
bersatu di dalam dakapan rindu
usah membohongi debar sukmamu
sujudlah tanda kalah
kerana menang tidak punya makna
walau sehasta!

Isnin, November 05, 2007




















Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
TENTANG SUNYI


sunyi itu akrab
sunyi itu erat
sunyi itu dekat

sunyi bukan jauh
sunyi bukan musuh
sunyi bukan lumpuh

sunyi intim berjarak
sunyi mengukur rindu
sunyi saling memerlu

sunyi itu tunduk
sunyi itu rahsia
sunyi itu cinta

Rabu, Oktober 31, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
ELANG MALAM 2


cahaya bulan menyelinap
di tingkap malam retak


bahang waktu dingin

angin menjadi naim


ruang tepu terkunci

segala gerak hasrat


menatapmu tanpa jemu

tanpa lesu tanpa ragu


antara nipis awan perlahan

yusuf curi perhati wajahmu dewi


mengasah cuba busur-busur cinta

untuk yusuf panah cendera bernyawa!


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

MENYARUNG JUBAH UNDAN
- untuk sdr tawfeksaed dan sdr dahiri saini


O sahabatku
tatkala menyarung jubah ini
tiadalah ingin ‘tuk berbangga
sekadar pelindung dingin
panas dunia


di hadapan kolam-Nya
adalah yusuf seekor undan
belajar mentafsir kocak air
luasnya terlalu terbentang
dalamnya sukar kurenang


sesekali dikejutkan lontaran batu
mudah yusuf terpaku, seketika terhenti

cuba bertanya cuba memahami
asal usul segala jadi


menjerit suara sering terkunci
kerana kata-kata yusuf sukar ‘tuk difahami
sungguh yusuf mengerti, mengapa harus
memaksa cenderawasih berbahasa angsa?


O sahabatku
gita yusuf bukan nyanyian sufi

mahupun senandung jiwa rumi

cuma tiupan seruling rindu

untuk Sang Kekasih yang satu.


Rabu, Oktober 24, 2007



















Karya-karya
Yusuf Fansuri

1. GELITA MALAM


Gelap gelita

Bintang-bintang

Di puncak kelam

Di lebaran malam


2. TAKBIR BESAR

Isya’ sujud

Sunyi pecah

Tasbih puja

Takbir kubra


3.BULAN PULANG


Bulan pulang

Ke dakap Tuan,

Awal barakah

Di ujung ampun


4. DISISI DIRI


Disisi diri

Hening meratap

Jasad mengalah

Sepi pasrah


5. DIRIBA IZZATI


Hati penuh

Linang air mata

Diriba izzati

Cinta bertakhta

Jua akhirnya.




Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

SOALAN KAUTANYA YANG LUPA KUJAWAP

Untuk Tun Teja yang mengajar aku bercinta

Singkat pertemuan
Kita banyak berbicara mata
Elus tangan cukup dingin
Setelah jarak rindu terasing

Bahasa tubuh yang diam
Degup dicabar debar
Getar diuji sunyi
Dan nafas tiba-tiba terhenti

Tetes embun mula tumbuh
Di ujung daun dinihari
Lantas kita berlalu pergi

Dan soalan kautanya lupa kujawap...


Sebuah karya
Yusuf Fansuri

GNAURRUANG

di depanmu, ini jasad satu
tanpa ruang mengadap harap
membentang pendam hasrat

cuba acapkali membohongi hati
melapis makna dalam sulam kata
tingkahlaku berlapik hijab malu

saat mendekatimu ingin
rindu tak bisa kupertahan
terkunci segala saraf bernyawa

pintaku, tanpa mendesak cuba
setitik ruang di sudut hidup
untuk kuredakan debar hajat

bukan cuba niat ‘tuk memaksa
soal hati rahsia misteri peribadi
ketahuilah, tiada pendua untukmu

namun, jika kautolak ini rasa
tak akan mudah aku berputus asa
paksa tidak bisa menyalakan cinta.

Selasa, September 04, 2007


Sebuah karya
Yusuf Fansuri

SUNYI MAKNA

- Untuk Kakanda Pharo sempena persaraanmu


akan sungai usia

terus mengalir

ke laut tenang

dan renta tak bisa

runtuhkan tebing rasa


saat begini menuntut lebih

akrab tuhan, mencintai insan


tak bisa menolak suratan

adat roda berputar jua

akan tiba setiap kita

pada titik hujung garisan mula


gilaplah piala sunyi

agar sentiasa kilaunya

biar hidup sendiri

tapi penuh bererti!


September 4, 2007

Ahad, September 02, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

LELAKI SEORANG DAN KERETAPI

pertemuan demi pertemuan
kau tetap berlalu pergi

payah dalam
melepasmu jua
entah berapa kali?

di deras angin deru keretapi
wangi tubuhmu harum bersayap

bayang-bayang hilang
sembunyi dalam garis hari

kuucap ingin
tinggalkan aku, jangan
ini rindu memburu sering

di perhentian ini
lelaki seorang
terus membilang sunyi!

Khamis, Ogos 23, 2007


Sebuah karya
Yusuf Fansuri

Kekasih Sputnik 2


pertemuan demi pertemuan
kautetap berlalu pergi


sukar terlalu meluah cuba
hasrat terkandung penuh di dada


di tangan basah terasa masih
saat kuusap airmata dipipimu


perpisahan seringkali
detik peralihan memori




Rabu, Julai 11, 2007


sebuah karya
Yusuf Fansuri

KEKASIH SPUTNIK


acapkali pertemuan

berada di setiap simpang


namun

malam memaksa pilihan


menatap ayu dalam samar

sinar matamu kerlip tak bisa padam


menoleh cuba dalam rasa

berpisah tak ingin


tinggalkan aku, jangan

bayang pembunuh kejam!

Hari Tiga 2007


Selasa, Julai 03, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
JAUH

di jendela
retak bulan

di celah jauh
daun-daun
tanpa luka
tanpa darah
terbelah!

Hari Dua, 24 Julai 2007

Isnin, Julai 02, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

BULAN DI PUNCAK NYALA

tatkala menyingkap
selubung malam
dingin mengelupas

bunyi dan sunyi
bersatu di langit
bintang berkelip

duhai maya pesona
hamba menumpang
di sudut bernyawa

tatkala bulan
di puncak nyala
padaMu jua, indah segala!

Senin, Julai 23 2007


Sajak Spontan
Yusuf Fansuri

Lilin 7

dalam deru
dalam nafas
dalam tubuh
dalam pembuluh
dalam lilin tujuh

hawa bernyawa
nyawa berhawa
hawa nyawa

HIDUP!


Senin, 2 Julai 2007