Khamis, November 08, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
TAMAN PUJI-PUJIAN

di daerah aneh hadir aku

kagum memasung segenap deria
tidak terluah walau sepatah kata
penuh takjub mata terkasima rasa

aroma udara cukup asing baunya

tiada kicau burung tiada riuh unggas
hutannya masih membalut hijau
pohonnya masih menunjang langit

sepanjang jalan lembut rumputnya
tiada rama-rama berterbangan
di celah daun-daun berwarna
tiada kedengaran bunyi air
mengalir
langitnya tiada berawan
segala seperti membeku

cuma aku masih berjalan-jalan di sekitar taman
di bibirku basah puji-pujian
di hatiku karam tangisan

O Yusuf
mengapa harus memilih waktu?
tatkala cinta telah berpadu
bersatu di dalam dakapan rindu
usah membohongi debar sukmamu
sujudlah tanda kalah
kerana menang tidak punya makna
walau sehasta!

Isnin, November 05, 2007




















Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
TENTANG SUNYI


sunyi itu akrab
sunyi itu erat
sunyi itu dekat

sunyi bukan jauh
sunyi bukan musuh
sunyi bukan lumpuh

sunyi intim berjarak
sunyi mengukur rindu
sunyi saling memerlu

sunyi itu tunduk
sunyi itu rahsia
sunyi itu cinta