Ahad, Disember 30, 2007

sebuah karya
Yusuf Fansuri
MASA

* detik ke detik * adalah waktu* antara kita *tiap datang * pasti kembali* masa ke masa * sendiri seringkali* aku kamu dan dia*

Khamis, Disember 27, 2007


sebuah karya
Yusuf Fansuri

API 3 PAGI


i)
di hujung

malam banjir

hujan belum reda

ii)
dingin membeku

melekat di tingkap
cermin dini


iii)
nyala mata terbuka
saraf membelit ruang
saat insan lain dipanah lena


iv)
nafas-nafas kencang
mengepung lamunan

letih tak punya jarak antara

v)

O yusuf

di dadamu telah terbakar sejuta api
menarilah di linkungan cahaya sunti!



Rabu, Disember 05, 2007



Sebuah karya
Yusuf Fansuri

SEGALA YANG MUNGKIR


tinggalkan segala mungkir
usia makin renta
janji tak pernah usai

maut sentiasa
mencium waktu cinta

percaya kalbu
setiap kita ‘
kan pergi
hanya menunggu detik tiba...



sebuah karya
Yusuf Fansuri

MENDAM RINDU


dasar rindu
dalam
menjalar aku
jadi akar


dasar rindu
dalam
meneguk cuba
mata air jiwa


dasar rindu
dalam

mendam rasa

jadi yusuf tawanan cinta!

Selasa, November 20, 2007


Sebuah karya
Yusuf Fansuri
MENANGISLAH BUNGA
Untuk sobat Rosani Hiplee


setiap kali matahari
menembusi retak pagi
dan tangkai mula membelit
duri-duri pun menusuk
senyap ngilu

deru angin jadi belati
menghiris segala sari
dingin menitis
di celah-celah daun

O ketahuilah,
wangiku adalah pedihku
maduku adalah racunku

setiap kali kaupetik ingin
sekuntum untuk kekasih

aku luka menahan lara

demi sebuah bahagia!


Sebuah karya
Yusuf Fansuri
BLUEBERRY
Untuk sobat Tawfeksaed
Kupetik ingin
Buahmu
Untuk kutawar
Hati biru
Manis
Di lidah kelu
Saraf menggeliat
Mabuk nikmat
Nah!
Di tanganku
Cinta berwarna ungu
Tunduk aku malu!

Isnin, November 19, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
KACA LUKA
luka kaca
terbelah dua
cermin retak jiwa

Sabtu, November 17, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
CINTA TERATAI

Mekar putih
Segar di kolam hati
Getar riak air sesekali
Menggoyang daun menari-nari
Membalut cinta
Teguh akarnya!



Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

RAWA

malam ghairah
indah sungguh
!

cintaku tumpah
di sepanjang jalan
ke tamanmu

itu bintang gugur
dari tangkai bulan
dinihari

malam ghairah
sungguh indah
!

Jumaat, November 16, 2007


sebuah karya
Yusuf Fansuri
JADI LENYAP AIR


dalam dakap
hening malam

jadi renyai hujan
jadi lenyap
air

jatuh ke tasik
dalam
dalam

dalam
dalam
dalam

dalam
dalam





sebuah karya
Yusuf Fansuri
OMBAK BER(SE)LINDUNG


tika resahmu kausampaikan
melalui udara november rindu bersayap
dan menyelinap di celah-celah retak kenangan

cuba ber(se)lindung gerak hati
berpura mencari makna jawapan
pada soalan tak pernah ditanya

kaubercerita tentang saujana laut
hidup terlalu kerdil di pinggir
ibarat butir-butir pasir sunyi kaujadi

kataku - sering kita hilang haluan
terkhilaf mentafsir arah angin
tersilap membaca peta sukma

saat ini - aku terlalu dekat padamu
deras hempasan ombak dapat kurasa
meski hanya hujan membasah jendela!

Khamis, November 08, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
TAMAN PUJI-PUJIAN

di daerah aneh hadir aku

kagum memasung segenap deria
tidak terluah walau sepatah kata
penuh takjub mata terkasima rasa

aroma udara cukup asing baunya

tiada kicau burung tiada riuh unggas
hutannya masih membalut hijau
pohonnya masih menunjang langit

sepanjang jalan lembut rumputnya
tiada rama-rama berterbangan
di celah daun-daun berwarna
tiada kedengaran bunyi air
mengalir
langitnya tiada berawan
segala seperti membeku

cuma aku masih berjalan-jalan di sekitar taman
di bibirku basah puji-pujian
di hatiku karam tangisan

O Yusuf
mengapa harus memilih waktu?
tatkala cinta telah berpadu
bersatu di dalam dakapan rindu
usah membohongi debar sukmamu
sujudlah tanda kalah
kerana menang tidak punya makna
walau sehasta!

Isnin, November 05, 2007




















Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
TENTANG SUNYI


sunyi itu akrab
sunyi itu erat
sunyi itu dekat

sunyi bukan jauh
sunyi bukan musuh
sunyi bukan lumpuh

sunyi intim berjarak
sunyi mengukur rindu
sunyi saling memerlu

sunyi itu tunduk
sunyi itu rahsia
sunyi itu cinta

Rabu, Oktober 31, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
ELANG MALAM 2


cahaya bulan menyelinap
di tingkap malam retak


bahang waktu dingin

angin menjadi naim


ruang tepu terkunci

segala gerak hasrat


menatapmu tanpa jemu

tanpa lesu tanpa ragu


antara nipis awan perlahan

yusuf curi perhati wajahmu dewi


mengasah cuba busur-busur cinta

untuk yusuf panah cendera bernyawa!


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

MENYARUNG JUBAH UNDAN
- untuk sdr tawfeksaed dan sdr dahiri saini


O sahabatku
tatkala menyarung jubah ini
tiadalah ingin ‘tuk berbangga
sekadar pelindung dingin
panas dunia


di hadapan kolam-Nya
adalah yusuf seekor undan
belajar mentafsir kocak air
luasnya terlalu terbentang
dalamnya sukar kurenang


sesekali dikejutkan lontaran batu
mudah yusuf terpaku, seketika terhenti

cuba bertanya cuba memahami
asal usul segala jadi


menjerit suara sering terkunci
kerana kata-kata yusuf sukar ‘tuk difahami
sungguh yusuf mengerti, mengapa harus
memaksa cenderawasih berbahasa angsa?


O sahabatku
gita yusuf bukan nyanyian sufi

mahupun senandung jiwa rumi

cuma tiupan seruling rindu

untuk Sang Kekasih yang satu.


Rabu, Oktober 24, 2007



















Karya-karya
Yusuf Fansuri

1. GELITA MALAM


Gelap gelita

Bintang-bintang

Di puncak kelam

Di lebaran malam


2. TAKBIR BESAR

Isya’ sujud

Sunyi pecah

Tasbih puja

Takbir kubra


3.BULAN PULANG


Bulan pulang

Ke dakap Tuan,

Awal barakah

Di ujung ampun


4. DISISI DIRI


Disisi diri

Hening meratap

Jasad mengalah

Sepi pasrah


5. DIRIBA IZZATI


Hati penuh

Linang air mata

Diriba izzati

Cinta bertakhta

Jua akhirnya.




Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

SOALAN KAUTANYA YANG LUPA KUJAWAP

Untuk Tun Teja yang mengajar aku bercinta

Singkat pertemuan
Kita banyak berbicara mata
Elus tangan cukup dingin
Setelah jarak rindu terasing

Bahasa tubuh yang diam
Degup dicabar debar
Getar diuji sunyi
Dan nafas tiba-tiba terhenti

Tetes embun mula tumbuh
Di ujung daun dinihari
Lantas kita berlalu pergi

Dan soalan kautanya lupa kujawap...


Sebuah karya
Yusuf Fansuri

GNAURRUANG

di depanmu, ini jasad satu
tanpa ruang mengadap harap
membentang pendam hasrat

cuba acapkali membohongi hati
melapis makna dalam sulam kata
tingkahlaku berlapik hijab malu

saat mendekatimu ingin
rindu tak bisa kupertahan
terkunci segala saraf bernyawa

pintaku, tanpa mendesak cuba
setitik ruang di sudut hidup
untuk kuredakan debar hajat

bukan cuba niat ‘tuk memaksa
soal hati rahsia misteri peribadi
ketahuilah, tiada pendua untukmu

namun, jika kautolak ini rasa
tak akan mudah aku berputus asa
paksa tidak bisa menyalakan cinta.

Selasa, September 04, 2007


Sebuah karya
Yusuf Fansuri

SUNYI MAKNA

- Untuk Kakanda Pharo sempena persaraanmu


akan sungai usia

terus mengalir

ke laut tenang

dan renta tak bisa

runtuhkan tebing rasa


saat begini menuntut lebih

akrab tuhan, mencintai insan


tak bisa menolak suratan

adat roda berputar jua

akan tiba setiap kita

pada titik hujung garisan mula


gilaplah piala sunyi

agar sentiasa kilaunya

biar hidup sendiri

tapi penuh bererti!


September 4, 2007

Ahad, September 02, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

LELAKI SEORANG DAN KERETAPI

pertemuan demi pertemuan
kau tetap berlalu pergi

payah dalam
melepasmu jua
entah berapa kali?

di deras angin deru keretapi
wangi tubuhmu harum bersayap

bayang-bayang hilang
sembunyi dalam garis hari

kuucap ingin
tinggalkan aku, jangan
ini rindu memburu sering

di perhentian ini
lelaki seorang
terus membilang sunyi!

Khamis, Ogos 23, 2007


Sebuah karya
Yusuf Fansuri

Kekasih Sputnik 2


pertemuan demi pertemuan
kautetap berlalu pergi


sukar terlalu meluah cuba
hasrat terkandung penuh di dada


di tangan basah terasa masih
saat kuusap airmata dipipimu


perpisahan seringkali
detik peralihan memori




Rabu, Julai 11, 2007


sebuah karya
Yusuf Fansuri

KEKASIH SPUTNIK


acapkali pertemuan

berada di setiap simpang


namun

malam memaksa pilihan


menatap ayu dalam samar

sinar matamu kerlip tak bisa padam


menoleh cuba dalam rasa

berpisah tak ingin


tinggalkan aku, jangan

bayang pembunuh kejam!

Hari Tiga 2007


Selasa, Julai 03, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
JAUH

di jendela
retak bulan

di celah jauh
daun-daun
tanpa luka
tanpa darah
terbelah!

Hari Dua, 24 Julai 2007

Isnin, Julai 02, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

BULAN DI PUNCAK NYALA

tatkala menyingkap
selubung malam
dingin mengelupas

bunyi dan sunyi
bersatu di langit
bintang berkelip

duhai maya pesona
hamba menumpang
di sudut bernyawa

tatkala bulan
di puncak nyala
padaMu jua, indah segala!

Senin, Julai 23 2007


Sajak Spontan
Yusuf Fansuri

Lilin 7

dalam deru
dalam nafas
dalam tubuh
dalam pembuluh
dalam lilin tujuh

hawa bernyawa
nyawa berhawa
hawa nyawa

HIDUP!


Senin, 2 Julai 2007

Isnin, Jun 25, 2007


sebuah karya
Yusuf Fansuri
Jinjang Singgahsana

(Untuk Dahiri Saini)

tatkala cahaya bulan
menyelinap di celah
kelambu malam

sang pencinta
sedang memetik kecapi
di anjung singgahsana

ditangannya penuh
cendawan berwarna
mabuk diulit asmara

telah ketemui segala
penawar mujarab ubat
kunci setiap makrifat

biarlah jinjang ini
saksi penuh jadi

naluri tumpaskan berahi!

refleksi untuk sajak di bawah;

dahiri saini
malam pengantin

(buat sahabat yusuffansuri)

malam pengantin
zat harumnya
mekar sanubari
di luar bulan ceria
warna emas berkilau
antara malam dan bulan
aku tersepit kemas
luka dan duka.

malam pengantin
berahinya mencemaskan
segar naluri
di luar kelam suram
antara ribut dan angin
aku masih bersendiri
rindu dan nestapa.

malam pengantin
baru bermula
antara resah dan gelisah
aku tidak sendiri lagi
itu barangkali.


Rabu, Mei 23, 2007

My Slide Show

Sabtu, April 28, 2007




Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

ELANG MALAM


ingin tatkala

menyentuhmu rupa

pesona semesta


hasrat penuh

bulan purnama

elang malam

merindu durja


sukar kugambar

saat kusambar cuba
cinta di puncak nyala!











Sebuah Sajak
Yusuf Fansuri

HALIMUNAN, RAMA-RAMA & BALANG KACA


halimunan
melukis catan
antara garis-garis
dupa mistis

menetas beluncas
menjelma
di hujung jari
seekor rama-rama
tumpah warna

segalanya
cukup indah
dalam balang kaca
yang menunggu pecah!

Selasa, April 17, 2007











sebuah karya
Yusuf Fansuri

AKU PUN TAHU (2)

saat pintu
cinta tertutup
siaga

kubuka cuba
mafatih cinta

lantas memori
pun lalu jadi
seribu ilusi mimpi

aku pun tahu
detik pada itu!














Karya
Yusuf Fansuri
3 Sajak

MASA DEDAUN

antara hayat
dan resah
masa dedaun
gugur
satu persatu
tua dan muda
ke dakap ibu bumi
antara resah
dan hayat

JARUM WAKTU

kawan!
betul katamu
jarum waktu
peniti tajam
seringkali
tertusuk
tika menunggu!


PINTU (2)

Aku temui
Seberkas kunci

Di depan
Rumahmu

Tapi tak
Aku tahu

Mana satu
Kunci pintumu!

Isnin, April 16, 2007













Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
MENJULANG CINTA DI KEMUNCAK USIA


musim berlalu
meninggalkan
sisa kenangan
di simpang setiap

tak mampu
untuk menoleh
segala berlalu
pusaran memori

di hujung usia
akar pengalaman
mengukuh pohon
dewasa

saat menguasai
curiga di hati
sentiasa gusar
tak tenteram

pada waktu hasrat
semakin pudar rupa
dan harapan kecewa
seringkali

O ketahuilah…
nun di puncak impi
samalah menjulang cinta
penawar mujarab
segala duka!

Khamis, Februari 22, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
PUTERI SALJU PUTEH
karangan hati untuk iman


nipis senyum manis
mekar di kuntum
bibir segar dan mulus

kerling sinar mata
di celah-celah rambut
penuh rahsia si comel muda

keletahmu, memikat
menjerat segala gusar
menawan segala resah

kehadiranmu
satu anugerah
penawar mujarab hati
penyembuh duka abadi

O puteri salju puteh
menatap ayu
wajahmu...
salji bisa cair
laksana dipanah mentari!

Rabu, Februari 21, 2007













Sebuah karya
Yusuf Fansuri
PIALA SABAR
- Untuk mizanila

rencam dunia
berliku cabar
sering menduga
kekuatan segala

antara lumrah
dan upaya menyerah
perlu timbang tara
mengukur yakin

harus lebih
berpegang kukuh
berpaut percaya
pada tali-Nya

saat kemenangan
di ambang istana
gilaplah piala sabar
kerana cinta-Nya
tak pernah tersia!

Jumaat, Februari 09, 2007














sebuah karya
Yusuf Fansuri
BINTANG-BINTANG

ombak gegas berkejaran
tofan memulas
pusaran

putaran menarik
ke dalam aku
lemas, lemah
dan letih

meredah biru lautan
tak terdaya
menumpas
kudrat

berenang antara
bintang-bintang
siripku tak bertulang!

Selasa, Februari 06, 2007


















sebuah karya
Yusuf Fansuri
RAHSIA CINTA IBNU ARABI


apalah dunia & seisinya tatkala rindu hanya untukNya yang satu
apalah dunia & seisinya tatkala kasih hanya untukNya yang satu
apalah dunia & seisinya tatkala cinta hanya untukNya yang satu
apalah dunia & seisinya tatkala rohani hanya untukNya yang satu

apalah dunia & seisinya tatkala aku hanya untukNya yang satu

















Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

FEBRUARI


i)
bulan mawar

bulan penawar


ii)

bulan kasih

bulan pedih


iii)

bulan janji

bulan mati




Isnin, Januari 15, 2007
















sebuah karya
Yusuf Fansuri
PADA MASA SEBENARNYA AKU MERINDUIMU

jauh adalah
jarak waktu
yang rindu

di puncak
aku terlontar
melihat dengan
segala kebesaran
ke tengah
biru lautan

fikiran berlayar
mencari wajahmu
di persisir pantai

di saat ini
aku temui hanya
cebis-cebis kenangan

hanyut di arus
bersama buih-buih
yang tiba-tiba hilang.