Rabu, Oktober 31, 2007


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri
ELANG MALAM 2


cahaya bulan menyelinap
di tingkap malam retak


bahang waktu dingin

angin menjadi naim


ruang tepu terkunci

segala gerak hasrat


menatapmu tanpa jemu

tanpa lesu tanpa ragu


antara nipis awan perlahan

yusuf curi perhati wajahmu dewi


mengasah cuba busur-busur cinta

untuk yusuf panah cendera bernyawa!


Sebuah Karya
Yusuf Fansuri

MENYARUNG JUBAH UNDAN
- untuk sdr tawfeksaed dan sdr dahiri saini


O sahabatku
tatkala menyarung jubah ini
tiadalah ingin ‘tuk berbangga
sekadar pelindung dingin
panas dunia


di hadapan kolam-Nya
adalah yusuf seekor undan
belajar mentafsir kocak air
luasnya terlalu terbentang
dalamnya sukar kurenang


sesekali dikejutkan lontaran batu
mudah yusuf terpaku, seketika terhenti

cuba bertanya cuba memahami
asal usul segala jadi


menjerit suara sering terkunci
kerana kata-kata yusuf sukar ‘tuk difahami
sungguh yusuf mengerti, mengapa harus
memaksa cenderawasih berbahasa angsa?


O sahabatku
gita yusuf bukan nyanyian sufi

mahupun senandung jiwa rumi

cuma tiupan seruling rindu

untuk Sang Kekasih yang satu.