Sabtu, November 18, 2006















Sebuah Sajak Yusuf Fansuri
BUKAN SELAMAT TINGGAL
- Mengukir kenangan terindah tatkala jiwa resah gelisah

di padang lalang
berterbangan belalang
mengejut sesekali
lamun panjang

kaubisikkan kata
paling manis di telinga
jarimu didakap erat

matahari cemburu
tika awan mendung
membalut redup

nun jauh di biru langit
layang-layang melayah
bersatu bersama bayu

tatkala diasak keras
deru angin entah mana
dan terputus benangnya

lantas kautersentak
menyentap tanganku
tanpa kata
terpaku aku

mengalirlah air mata
lalu aku usap pipimu
dengan sapu tangan
hadiahmu

kaubertanya;
akan ke mana
hilangnya?

luahku perlahan;
bersama desir
rahsia mengalir!












Sebuah Sajak Yusuf Fansuri
DALAM RUSUH BISIKAN


O tuhan, tak tertanggung ini rasa
dipulas resah tofan mengganggu lena
di ranjang duri menusuk setiap segi

Sang pencinta sayapnya patah
mengheret seksa kepak berdarah
deru angin menyindir berdesir pasir

Tiada lagi yang bisa aku cagarkan
tiada lagi daya menunggang kudrat
demi pertahankan negeri ini kasih

Menyerah kalah tidak pernah mudah
lari bukan bermakna bisa semua berhenti
jarak bukan ukur bijak menentu pisah

Setelah kerah yuda berbekas segala
tinggalan sisa jadi puing-puing ngeri
memerangkap mimpi berterbangan

Rusuh bisikan semakin hampir terasa
antara jarak bibir ke bibir tatkala
bidikan panah duka bertubi masih

O Tuhan, berilah aku ruang bernafas hela
berilah detik seketika mengucup cuma
sebelum ini tubuh melayah ke udara!


Sebuah Sajak Yusuf Fansuri
ANGIN LUKA


membalut angin berdarah
duka bernyawa mula
tembus peluru
dada terbuka!


Jumaat, November 17, 2006





















Sebuah Sajak Yusuf Fansuri
PENAWAR SEGALA MUJARAB UBAT


berulangkali memahami cuba
segala rahsia, antara misteri
teka-teki dan permainan rasa,
muslihat bijak, percaturan gerak

panahan tujah seringkali gagal
dielak dengan pantas silat kata
tusukan beberapa kali pedihnya
meracun seluruh kudrat tenaga

di medan edan kejar mengejar
berlari letih memburu tanpa tuju
mengalas beban tanpa muatan
dan berhenti tanpa kepastian

indah dimata bukan indah di jiwa
khilaf membaca isyarat panca
terjerumus mudah dalam sesat
jelas dan terang bersuluh jua

duga lebih mencabar akal erti
busur ragu bidikan silap mata
tak rela tubuh menyerah patuh
tiada dua dalam pilihan setara

hidup punya kejutan keajaiban
tafsiran makna ganda berlipat
cahaya atas cahaya makrifat
penawar segala mujarab ubat

Khamis, November 16, 2006





















Sebuah sajak Yusuf Fansuri

BERAKHIR DI SINI BERMULA


sekian lama gelisah
aku lepaskan gusar
dari sangkar

setelah debar
berdegup tidak
rapi tersimpul nadi


aku bebaskan
nafas-nafas hela
menerjah dada

sang rama-rama
berterbangan
bertebaran
di angkasa

ayuh! raikan
si peniup gita
dunia di puncak
kencana

telah berakhir
segalanya
titik di sini
bermula….

Rabu, November 15, 2006














Sebuah Sajak Yusuf Fansuri
DUA ANTARA KITA

disisi sungai
tenang arus
menipis tebing

derai airmata
tatkala hiba
dingin mengalir

kuelus pipimu
hangat terasa
teruja cemburu

saat kudakap
tangan eratmu
sunyi berbicara
bahasa halus

antara kita,
cermin cinta
terbelah dua!

nyata, janji
memihak tidak
pada hasrat hati

nun jauh
di kaki langit

merah senjakala
memalit warna
nestapa

















Sebuah Sajak Yusuf Fansuri
MEMBURU KUPU-KUPU
Untuk Niya

aku sukar
pertahan gusar
mengheret seksa
− aku letih aku pedih

garis langit nipis
hujan seringkali
tinggalkan kabut
dingin dan basah

dicelah dedaun
senja menyusup
sinar malam
mengandung makna
tak terucap

tak terdaya
memburu kupu-kupu
kenangan berterbangan
singgah di ranting
ingatan

di taman ini
aku ditawan sunyi
mengejar rindu
penghujung tiada!



















sebuah sajak Yusuf Fansuri
DAN BERLALU…
buat NIYA

dalam resah
kita bertemu
melerai cuba
simpul gelisah

tak terasa
kaki terluka
mengutip sisa
berderai kaca

berulangkali
silap serupa
dalam beza
suasana

sukarnya
memilih untuk
kepastian satu
simpang antara
hujung tiada

dan berlalu…
adalah kenangan
sebuah ilusi airmata.